Bintulu Raikan Hari Wanita Sarawak 2025 Dengan Penuh Penghargaan

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Lebih 200 tetamu memeriahkan Sambutan Hari Wanita Sarawak Peringkat Daerah Bintulu Tahun 2025 yang diadakan buat julung kalinya di Parkcity Everly Hotel, sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan penting wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang hadir bersama isteri, Dayang Loha Awang Sahari.

Program ini dianjurkan selaras dengan tema sambutan peringkat negeri, “Diversity, Equality, Equity & Inclusivity (D2EI)”, yang membawa mesej penting dalam memperjuangkan keadilan dan keterangkuman untuk semua wanita tanpa mengira latar belakang.

Majlis turut menyaksikan siaran langsung Sambutan Hari Wanita Sarawak Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg Secara keseluruhan, lebih 45 agensi kerajaan dan pertubuhan wanita dari seluruh negeri menyertai acara secara maya melalui aplikasi Zoom.

Acara kemuncak ialah penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Daerah Bintulu 2025 kepada Wong Man Yun atas sumbangan cemerlangnya dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Anugerah Khas Tokoh Wanita Bintulu 2025 pula diberikan kepada Hamdiah binti Abdullah, ibu kepada Iskandar Turkee, sebagai tanda penghormatan atas peranan dan jasa beliau yang disegani dalam kalangan masyarakat akar umbi.

Sementara itu, Pengerusi PPWS Cawangan Bintulu/Miri, Hashimah Wahap dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Anggun HW25 atas kepimpinan dan keperibadiannya yang menjadi inspirasi wanita moden.

Dalam ucapannya, Iskandar menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan tersebut, khususnya kepada Pejabat Daerah Bintulu dan Kementerian Pembangunan Wanita Sarawak.

Beliau menyifatkan wanita sebagai tulang belakang kejayaan bangsa dan negara, menyentuh bahawa kejayaan mana-mana insan tidak akan tercapai tanpa doa dan pengorbanan wanita bergelar ibu.

Beliau turut memetik ungkapan “tangan yang mengayun buaian mampu menggerakkan dunia” sebagai simbol kekuatan wanita dalam membentuk masa depan yang gemilang.

Sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran kesedaran dadah oleh AADK dan PEMADAM, pemeriksaan kesihatan oleh Wira Health Clinic serta gerai jualan usahawan tempatan, sekaligus menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna dan menyeluruh.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan bersama isteri, tetamu jemputan dari agensi kerajaan, penguat kuasa, ketua masyarakat serta pemimpin wanita tempatan.-EDISI UKAS