Sukan Pemangkin Perpaduan, Bakat dan Semangat Patriotik

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KANOWIT: Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya kali ke-65 menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat sukan serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan murid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penganjuran kejohanan sukan seperti ini bukan sahaja mencetuskan minat terhadap aktiviti riadah, malah berperanan penting dalam melahirkan generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.

Beliau menambah, sukan juga merupakan antara agenda nasional yang mampu membina semangat patriotik, nilai perpaduan serta kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Sedaya di padang sekolah berkenaan pada Khamis.

Anyi turut menekankan bahawa sejak berdekad lamanya, sukan telah menjadi medium untuk menyemai nilai-nilai perpaduan, kerjasama dan kecintaan terhadap negara.

“Sukan telah mengikat kita sebagai bangsa yang kaya dengan nilai kasih sayang. Ia telah menyatukan kita merentasi sempadan kaum dan agama.

“Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu dan saling memahami. Jadikan juga sukan sebagai pentas untuk kita bersama-sama mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar budaya beriadah terus dipupuk sebagai gaya hidup sihat demi keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

Hadir sama, Pengetua SMK Sedaya Ng Goat Guan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sedaya Alixie Bundong, Penolong Kanan Pentadbiran Agnes Nawah Liew dan tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS