Perkhidmatan Bas Luar Bandar Miri Dipertingkat, Laluan Disusun Semula Bermula 1 Ogos

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Perkhidmatan bas henti-henti luar bandar yang menghubungkan Miri dengan kawasan pedalaman seperti Long Lama, Bekenu dan Simpang Ngu (Batu Niah) kini diperkasa dengan penambahan trip harian serta penyusunan semula laluan bermula 1 Ogos 2025.

Majlis pelancarannya telah diadakan di Stesen Bas Wisma Pelita Tunku dan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.

Turut hadir, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau serta wakil syarikat pengendali perkhidmatan, Miri Transport Company Sdn. Bhd. (MTC).

Dato Sri Lee dalam ucapannya menjelaskan bahawa perkhidmatan tersebut bukanlah baharu, malah telah mula diperkenalkan secara percubaan pada 8 Mac lalu dan menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk luar bandar, khususnya di Long Lama.

Menurut beliau, inisiatif ini digerakkan hasil permintaan daripada wakil rakyat tempatan dan dilaksanakan dengan sokongan penuh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta kelulusan daripada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Tiga laluan utama yang terlibat dalam penstrukturan semula ini ialah laluan Miri–Bekenu–Miri, Miri–Simpang Ngu (Batu Niah)–Miri, dan Miri–Long Lama–Miri, dengan masing-masing menawarkan empat perjalanan pergi balik setiap hari.

Usaha ini dijangka mampu mengurangkan beban kos perjalanan penduduk luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi melalui pengangkutan yang lebih efisien.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menyatakan kesediaan kementerian untuk mempertimbangkan pembinaan terminal bas mini di Long Lama sekiranya sambutan terhadap perkhidmatan ini kekal memberangsangkan selain daripada tambahan perjalanan juga boleh dilaksanakan pada musim perayaan atau apabila terdapat peningkatan permintaan daripada pengguna.-EDISI UKAS