BINTULU: Kemudahan sukan di Bintulu terus diperkasa dengan pembukaan rasmi OGC Pickleball Court.
Ini sekali gus menjadikan sukan Pickleball sebagai antara sukan baharu yang diberi perhatian dalam usaha memperkukuh budaya sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang turut melancarkan tiga inisiatif utama iaitu Let’s Play Pickleball Grassroot Program, OGC Pickleball Court Grand Opening dan OGC Pickleball Tournament 2025, bertempat di premis OGC pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Iskandar menyatakan keyakinan terhadap potensi sukan Pickleball sebagai medium baharu mencungkil bakat dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.
"Sukan Pickleball kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat. Ini merupakan peluang besar untuk memperkenalkan sukan ini secara meluas, terutama kepada pelajar sekolah, sekaligus membentuk gaya hidup aktif sejak usia muda,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha memperluas penglibatan belia dalam sukan ini akan diteruskan dengan pelaksanaan program pembangunan Pickleball di peringkat sekolah menengah bermula tahun hadapan.
Antara lain beliau juga menzahirkan komitmen OGC Group dan rakan strategik dalam menyokong pembangunan komuniti melalui penyediaan fasiliti sukan moden dan berkualiti.-EDISI UKAS