Hari Wanita Diraikan Penuh Bermakna di Telang Usan

Disiarkan pada 02 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LONG LAMA: Lebih 40 wanita dari sekitar Long Lama mengambil bahagian dalam sambutan Hari Wanita yang diraikan secara sederhana namun bermakna di Pekan Long Lama pada Sabtu.

Program anjuran Pejabat Daerah Telang Usan itu diadakan serentak dengan sambutan Hari Wanita di seluruh Sarawak, sebagai tanda penghargaan kepada peranan wanita dalam pembangunan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.

Sambutan dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan sesi ringkas bersama Jurusolek, Zanariah yang berkongsi teknik asas penggunaan alat solek.

Para peserta diberi tunjuk ajar tentang teknik solekan yang sesuai dengan jenis kulit serta jenis majlis yang dihadiri.

Acara diteruskan dengan aktiviti kesenian halus apabila para peserta diajak menyiapkan sulaman manik untuk dijadikan pemegang kunci buatan tangan.

Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil kreativiti, malah memperkenalkan potensi kraf tangan tempatan untuk dikomersialkan.

Peserta yang hadir terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi kerajaan, wakil NGO, serta organisasi swasta di Long Lama dan sekitarnya.

Menurut penganjur, program ini bertujuan untuk memupuk keyakinan diri dalam kalangan wanita serta mengukuhkan jaringan kerjasama di antara pelbagai lapisan komuniti wanita.

Meskipun tiada tetamu kehormat hadir, sambutan tetap berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan menggalakkan, membuktikan komitmen masyarakat setempat dalam mengangkat peranan wanita ke tahap yang lebih tinggi.-EDISI UKAS