KUCHING: Warga Kuching diseru agar menetapkan aspirasi yang melangkaui penanda aras global dengan menegaskan bahawa bandar raya itu tidak seharusnya sekadar menyaingi standard antarabangsa, malah wajar mengatasi tahap yang telah ditetapkan oleh bandar raya terkemuka dunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menekankan bahawa status Kuching kini terus berkembang pesat hasil penglibatan aktif dalam pelbagai jaringan dan inisiatif global bertaraf antarabangsa.
Malah menurutnya, ketika ini Kuching bukan lagi sebuah Bandaraya Gastronomi berskala kecil.
"Kita bukan hanya sebuah bandar yang menjalin kerjasama dengan UNICEF menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI), dan kita juga bukan sekadar anggota dalam Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-AFCC).
“Kuching tidak lagi terhad kepada persepsi sebagai ‘bandar di rimba Borneo’. Sebaliknya, kita kini berdiri setaraf dengan bandar-bandar bertaraf antarabangsa.
“Jadi saya meletakkan harapan agar bandar kita yang bertaraf antarabangsa ini mencapai nilai dan kualiti yang mengatasi beberapa bandar raya antarabangsa lain,” katanya semasa merasmikan Kuching Festival Fair (KFF) 2025 di Teater Terapung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), malam Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, penganjuran festival itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam agenda pemerkasaan jati diri kebudayaan rakyat.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng mengumumkan antara sorotan utama festival tahun ini ialah pembukaan Ruang Gastronomi (Gastronomy Corner) yang memperkukuh lagi pengiktirafan Kuching sebagai ahli Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang Gastronomi.
Ruang tersebut menampilkan pelbagai sajian istimewa dari Zhenjiang, Wilayah Jiangsu dan Quanzhou, Wilayah Fujian, China, selain hidangan hasil ciptaan pemenang pertandingan Chef Kuching, terutamanya mereka yang telah mewakili bandar ini ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis itu turut menyaksikan pelantikan Dato Wee sebagai Duta Promosi Global Gastronomi Quanzhou oleh Kongres Rakyat Perbandaran Quanzhou, Wilayah Fujian untuk tempoh dua tahun.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Tuan Xing Weiping, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman serta jemputan kenamaan yang lain.-EDISI UKAS