KOTA SAMARAHAN: Agensi dan penjawat awam Islam di Sarawak diseru agar tidak sekadar melihat peranan mereka sebagai pelaksana tugas pentadbiran, sebaliknya perlu memahami kedudukan sebagai pemegang amanah ummah yang bertanggungjawab memacu pembangunan masyarakat secara menyeluruh dan seimbang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penglibatan aktif dalam program seperti Ijtimak Kecemerlangan JAIS 2025 merupakan satu manifestasi penting untuk menyemai ukhuwah, membina semangat kerja berpasukan dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan umat Islam.
“Islam bukan hanya tertumpu pada ibadah ritual semata-mata, tetapi turut menzahirkan kegembiraan, semangat menyantuni sesama insan, serta kehidupan yang aktif dan bertenaga.
“Peranan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) amat penting dalam membangunkan insan secara seimbang dari sudut akademik, akhlak, spiritual dan jasmani,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Stadium UNIMAS, di sini, pada Sabtu.
Beliau menambah, pelaksanaan program seumpama ini seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Pasca-COVID 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat dan masyarakat harmoni.
Program dimulakan dengan acara Larian Mesra Ummah yang melibatkan lebih 300 peserta dari pelbagai agensi dan komuniti, merangkumi laluan tiga dan lima kilometer mengelilingi kawasan kampus UNIMAS.
Acara seawal jam 5 pagi dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti solat Subuh berjemaah, kuliah Subuh oleh Pengarah JAIS Sarawak, Tuan Mual Suaud, serta senaman ringan sebelum pelepasan rasmi larian pada jam 6.30 pagi.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, penganjuran program seperti ini wajar dijadikan sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar JAIS kerana memberi impak besar bukan sahaja kepada warga jabatan, malah kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Ia bukan sekadar acara riadah semata-mata, tetapi satu pendekatan holistik yang menyatukan jasmani, rohani dan sosial masyarakat. Program ini juga mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penglibatan langsung penjawat awam dalam platform komuniti,” jelasnya.
Tambah beliau, budaya berkhidmat dengan ikhlas dan berjiwa besar perlu terus dipupuk dalam kalangan agensi agama sebagai teras perkhidmatan awam yang cemerlang dan berintegriti.
Ijtimak Kecemerlangan JAIS 2025 merupakan antara program yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan penjawat awam Islam di Sarawak bagi memperkukuh perpaduan, integrasi sosial serta kesejahteraan ummah melalui pendekatan pembangunan menyeluruh berasaskan nilai Islam.-EDISI UKAS