SIMANGGANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus menzahirkan komitmen tinggi dalam membantu mangsa bencana apabila menyalurkan bantuan berjumlah RM66,900 kepada mangsa kebakaran di Kampung Tengah, Simanggang menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bantuan tersebut meliputi pelbagai keperluan asas termasuk wang saku, pakaian, peralatan dapur, barangan persekolahan, bahan binaan serta barangan keperluan harian, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani impak awal pasca bencana secara menyeluruh.
Selain itu, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menghulurkan bantuan segera kepada setiap ketua isi rumah melalui Tabung Bantuan Segera berjumlah RM300, sebagai inisiatif awal untuk membantu mangsa memulakan semula kehidupan selepas kejadian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri turut merakamkan penghargaan atas tindakan pantas dan koordinasi cekap oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sri Aman yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman serta diselia oleh Residen Bahagian Sri Aman.
“Pendekatan bersepadu dan penyelarasan pantas yang digerakkan oleh pelbagai agensi di bawah JPBD merupakan cerminan kecekapan sistem pengurusan bencana kita.
"Usaha ini amat membanggakan dan perlu dijadikan penanda aras dalam pengurusan krisis di peringkat daerah,” ujar beliau semasa turun padang bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran di Kampung Tengah Simanggang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, Jalan Stawang, malam tadi.
Lawatan berkenaan turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor bagi memberikan sokongan moral kepada para mangsa.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM11,500 kepada semua keluarga mangsa, hasil gabungan peruntukan khas ADUN dan sumbangan peribadi beliau sendiri.
Secara keseluruhan, lapan buah rumah terjejas dalam insiden pada 30 Julai lepas, melibatkan 21 mangsa daripada lima keluarga yang kini berlindung di PPS berkenaan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Ketua Bahagian Pemulihan dan Perundangan JKM Sarawak, Mohd Ali Taib, Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Neil Baginda, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali serta wakil-wakil agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman.-EDISI UKAS