SRI AMAN: Keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Tengah terus dizahirkan apabila Ahli Parlimen Batang Lupar, Shafizan Zahir turun padang menziarahi mangsa dan meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Lemanak.
Dalam kejadian yang berlaku pada lewat malam 28 Julai lalu, sebanyak lapan buah rumah telah terjejas, membabitkan seramai 32 orang penduduk daripada lapan keluarga.
Shafizan hadir sejurus menyelesaikan urusan rasmi di Parlimen, menyatakan rasa dukacita atas musibah yang menimpa penduduk Kampung Tengah.
“Kejadian ini amat menyayat hati. Dalam sekelip mata, kediaman dan kenangan musnah dijilat api. Namun, saya melihat cahaya harapan menerusi semangat kebersamaan dan sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat dan agensi-agensi penyelamat,” ujarnya pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sri Aman yang bertindak pantas sejak malam kejadian.
Ucapan terima kasih turut diberikan kepada para penyumbang dan Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum (KMKK) yang memainkan peranan penting dalam menyelaras kebajikan mangsa, termasuk Ketua Kampung Tengah yang dikatakan sebagai antara individu terpenting dalam memastikan segala keperluan asas penduduk terjejas dapat disalurkan dengan segera.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para mangsa. Diharapkan mereka terus tabah dan cekal dalam menghadapi ujian ini,” tambah beliau.
Setakat ini, bantuan awal berupa makanan, pakaian dan keperluan harian telah pun disalurkan kepada mangsa, manakala proses penilaian kerosakan serta sumbangan susulan sedang diuruskan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah atau hadir terus ke PPS Dewan Sri Lemanak.-EDISI UKAS