KUCHING: Syarikat Howden Insurance Brokers Sdn Bhd telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan bagi merintis kerjasama dua hala antara kedua pihak.
Kunjungan tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Utama UKAS pada Khamis dengan delegasi Howden Insurance Brokers diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismam Shahrin Ismail.
Turut hadir Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali dan barisan Ketua Penolong Pengarah (KPP) yang lain.
Antara lain, kunjungan delegasi Howden Insurance Brokers itu bertujuan berkongsi pelbagai pelan insuran yang sesuai untuk melindungi kakitangan mahupun aset UKAS.
Awang Putra dalam pada itu menyambut baik pelan insuran yang dibentangkan oleh pihak Howden Insurance Brokers sambil menekankan kepentingan perlindungan keselamatan kakitangan UKAS khususnya yang sering bertugas di lapangan dalam situasi mencabar berisiko.
Pada masa sama katanya, pelan perlindungan juga penting untuk melindungi aset-aset UKAS yang bernilai tinggi. - EDISI UKAS