Festival Sarikei 2025 Cerminan Aspirasi Baharu Daerah Pertanian, Pelancongan & Budaya

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARlKEI: Acara tahunan ikonik Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei dijenamakan semula sebagai Sarikei Festival 2025, menandakan anjakan baharu dalam usaha menjadikan Sarikei sebagai destinasi pertanian, pelancongan dan budaya bertaraf tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penjenamaan semula itu adalah langkah strategik memperluas potensi daerah ini bukan sahaja dalam sektor pertanian, tetapi juga pelancongan, inovasi dan kemasyarakatan.

“Pesta ini telah melangkah secara tersendiri apabila mencecah edisi ke-18, satu pencapaian membanggakan yang turut memperkukuhkan kedudukan Sarikei sebagai destinasi pelancongan tempatan yang semakin mendapat perhatian.

“Namun kita sedar bahawa dalam dunia yang semakin moden, dinamik dan berdaya saing ini, perubahan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak.

“Tahun 2025 bakal menyaksikan satu anjakan beaar dan sejarah penganjuran pesta ini melalui penjenamaan semula yang membawa nafas baharu dan lebih segar iaitu Festival Sarikei, satu penjenamaan semula yang mencerminkan aspirasi baharu potensi lebih luas dan keterangkuman semua lapisan masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis pra pelancaran Festival Sarikei 2025 di Dewan Suarah Sarikei pada Jumaat.

Menurut beliau, festival tahun ini membawa tema 'Unite in Culture, Rich in Heritage' yang melambangkan iltizam kolektif untuk memastikan budaya dan warisan tidak hanya dikenang sebagai peninggalan masa lalu, tetapi diangkat sebagai aset berharga dalam membina masa depan yang lebih gemilang.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menyeru seluruh masyarakat Sarikei dan rakyat Sarawak agar hadir memeriahkan festival tersebut sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan daerah serta semangat perpaduan yang utuh.

Festival Sarikei 2025 telah bermula pada 25 Julai lalu dan bakal melabuhkan tirai pada 3 Ogos 2025, dengan pelbagai pengisian menarik seperti pameran pertanian, karnival budaya, pertandingan kreatif, jualan produk tempatan dan penyertaan aktif komuniti setempat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Residen Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sarikei Festival 2025 Datu Michael Ronnie Langgong, Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Sarikei Kennedy Kedo, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Superintendent Awan Amal dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Kaunselor Stephen Wong Kie Yong.-EDISI UKAS