BANDAR SERI BEGAWAN: Semangat kebudayaan dan keakraban serantau bakal disemarakkan menerusi Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2025 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Ogos ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini dari jam 9 pagi hingga 10 malam.
Program anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dan Brunei Darussalam melalui pertukaran budaya, warisan dan kulinari.
Lebih daripada sekadar sebuah pameran, ia menjadi platform strategik kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengetengahkan produk tempatan serta memperluas rangkaian perniagaan rentas sempadan.
Antara pengisian menarik yang menanti para pengunjung termasuk pameran kraftangan dan hasil seni tempatan, demonstrasi masakan tradisional dan moden, persembahan kebudayaan pelbagai etnik, segmen pertunjukan budaya serta rangkaian perniagaan dan sesi interaksi komuniti.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Mohd Amin Liew Abdullah.
Turut dijangka hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.-EDISI UKAS