KUCHING: Rakyat Sarawak dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang sah.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak berkata, langkah tersebut penting terutamanya ketika negara sedang mengalami musim panas dan cuaca kering yang boleh meningkatkan risiko berlakunya kebakaran tidak terkawal serta jerebu.
“Pembakaran terbuka termasuklah pembakaran apa-apa sisa pertanian, semak samun atau belukar, pembakaran apa-apa jenis buangan seperti sampah domestik atau buangan binaan, pembakaran di tapak pelupusan atau kawasan tanah gambut, dan pembakaran secara terkawal tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa,” kata JAS Sarawak dalam kenyataan pada Jumaat.
JAS Sarawak turut memaklumkan bahawa individu yang melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).
“Sebagai makluman, di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana orang yang melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM 25,000 dan tidak melebihi RM 1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Selain itu, denda tambahan juga boleh dikenakan tidak melebihi RM 5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas diberikan notis untuk menghentikan aktiviti tersebut.
“Orang yang bersalah boleh juga dikenakan kompaun maksima tidak lebih 50 peratus dari kadar denda maksima,” jelas JAS Sarawak.
Dalam masa sama, JAS Sarawak menyeru kerjasama orang ramai dalam memerangi sebarang bentuk pencemaran alam sekitar dengan segera melaporkan aktiviti mencurigakan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam, atau menerusi e-mel ke aduan_k@doe.gov.my, ataupun portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.
Tambah kenyataan itu lagi, larangan pembakaran terbuka perlu dipatuhi bagi mencegah pencemaran udara yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam dan keseimbangan alam sekitar.
Katanya, antara kesan terhadap kesihatan awam ialah peningkatan kes asma, batuk, bronkitis, masalah pernafasan dan jantung, terutama dalam kalangan bayi, warga emas serta mereka yang menghidap penyakit kronik. Ia juga boleh menyebabkan iritasi pada mata, tekak dan hidung serta menjejaskan kualiti hidup penduduk.
Sementara itu, ujarnya, kesan kepada alam sekitar pula termasuk pencemaran udara dan jerebu, kemerosotan kualiti tanah dan air, kemusnahan flora, fauna serta ekosistem, dan peningkatan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim global.-EDISI UKAS
Foto Janaan AI