Pendaftaran Safari Perahu Padawan 2025 Kini Dibuka, Acara Berlangsung 5 Oktober Ini

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Pendaftaran bagi acara tahunan Safari Perahu Padawan 2025 kini dibuka secara rasmi menawarkan pengalaman unik menyusuri Sungai Sarawak Kiri menggunakan perahu buluh tradisional dan kayak pada 5 Oktober ini.

Perlumbaan berkonsepkan sukan air berteraskan alam semula jadi ini akan bermula dari beberapa perkampungan ikonik termasuk Kampung Annah Rais, Kampung Timurang, Kampung Danu dan Kampung Semadang, sebelum berakhir di Kampung Git.

Acara ini dijangka menarik penyertaan ramai peminat sukan air serta pencinta ekopelancongan dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh Padawan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

Safari Perahu Padawan bukan sekadar perlumbaan air, malah merupakan platform mengetengahkan budaya tradisional, keindahan landskap semula jadi serta gaya hidup luar bandar masyarakat Bidayuh di kawasan Padawan.

Peserta juga berpeluang menginap di homestay kendalian komuniti tempatan, selain menikmati aktiviti riadah seperti berkelah di kawasan air terjun, yang secara langsung menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi setempat.

Safari Perahu Padawan 2025 dijangka bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal peserta, malah memperkukuh nilai budaya dan identiti ekopelancongan Sarawak di peringkat antarabangsa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini serta melakukan pendaftaran melalui laman web rasmi www.borneoraftsafari.com atau mengikuti halaman Facebook rasmi Majlis Perbandaran Padawan dan Grit Event Management.-EDISI UKAS