KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) bercadang supaya semua tempat awam di negeri ini dilengkapi dengan peranti Automated External Defibrillator (AED) sebagai salah satu usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan berkaitan serangan jantung.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, berkata pindaan terhadap Ordinan Bangunan sedang diusahakan bagi memasukkan peraturan baharu, termasuk keperluan pemasangan AED di lokasi awam.
“Kita telah meminda Ordinan Bangunan dan sedang menunggu semakan oleh Peguam Besar Sarawak dengan harapan ia dapat dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang. Salah satu peraturan baharu yang tepat pada masanya ialah keperluan AED di tempat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian AED antara UNIFOR dan Bulan Sabit Merah Daerah Kuching, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Sarawak dan sering kali orang awam menyaksikan kejadian individu rebah secara tiba-tiba.
Katanya, dalam situasi ini,,kehadiran AED yang berdekatan boleh menyelamatkan nyawa.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pemasangan AED sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan rakyat untuk menggunakannya.
“Kita perlu pastikan rakyat tahu melakukan CPR dan mengendalikan AED. Sebab itu latihan melalui agensi seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, UNIMAS dan St. John Ambulans Malaysia sangat penting,” jelas beliau.
Selain itu, MPHLG juga mengambil peluang untuk mengemas kini pelbagai peraturan berkaitan bangunan termasuk memperkenalkan “green index” selaras dengan visi Premier Sarawak ke arah pembangunan mampan.-EDISI UKAS