Pendekatan Outreach Bawa Perkhidmatan Sosial Terus Kepada Rakyat

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Program Outreach atau jangkauan komuniti Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK) Bersama Rakan Strategik bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi merupakan pendekatan turun padang yang membawa perkhidmatan sosial terus kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pendekatan ini dilaksanakan dengan penuh empati bagi memastikan masyarakat luar bandar bukan sahaja mendapat bantuan material, tetapi juga akses kepada maklumat, peluang dan hubungan langsung dengan agensi kerajaan.

“Objektif utama program ini adalah untuk memastikan rakyat di seluruh Sarawak mendapat akses kepada inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

“Di samping itu, ia turut bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang inklusif dan mesra rakyat,” katanya ketika merasmikan majlis penangguhan program tersebut di Dewan Panglima Damu/Panjang, Kampung Merian Bedup di sini pada Jumaat.

Tambahnya, Program Outreach ini berperanan menyantuni komuniti secara langsung, meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan sosial yang disediakan kerajaan, memperkukuh kolaborasi rentas agensi dan memupuk solidariti komuniti.

Datuk Mohammad Razi turut mengumumkan nilai bantuan kebajikan yang disalurkan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian mencecah lebih RM4.68 juta, melibatkan pelbagai skim bantuan termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak dan Elaun Pekerja OKU.

“Ini jelas menunjukkan usaha dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat bagi meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap penduduk memanfaatkan segala ilmu, maklumat dan peluang yang disediakan kerana kesejahteraan komuniti juga bergantung kepada keterlibatan aktif masyarakat itu sendiri dan bukan tanggungjawab kerajaan sahaja.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus -EDISI UKAS