20 Kanopi Diserahkan Kepada Penjaja Pasar Tani Jepak

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sebanyak 20 kanopi telah diserahkan kepada penjaja terpilih Pasar Tani Jepak dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pusat Khidmat Jepak pada Khamis.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai persiapan awal ke arah penganjuran Pasar Tani Jepak 2025 yang akan bermula pada 2 hingga 3 Ogos ini.

Menurut Iskandar, pasar tani ini menjadi platform penting kepada penduduk setempat khususnya usahawan kecil dan pengusaha produk tempatan seperti makanan tradisional, minuman kampung dan hasil tani.

Penganjuran program ini juga dilihat selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan usaha meningkatkan ekonomi luar bandar.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk FAMA, BDA, JKKK Jepak dan AJK pelaksana atas komitmen dalam menjayakan program ini.

“Ia bukan sekadar pasar tani biasa, malah menjadi pusat perniagaan mingguan yang mampu mengukuhkan jaringan ekonomi komuniti,” ujar beliau.

Lebih menarik, Pasar Tani Jepak turut akan menampilkan 10 peniaga daripada Komuniti Bintulu Car Boots Sale dan memperkenalkan segmen baharu iaitu ‘Pasar Karat’ yang memberi ruang kepada peminat barangan antik dan terpakai untuk berniaga dalam suasana santai.

Program ini dijadualkan berlangsung setiap hujung minggu, bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari di kawasan strategik Pasar Tamu Jepak, bersebelahan Pusat Giat MARA.

Dalam pada itu majlis pelancaran rasmi dijangka berlangsung pada 23 Ogos 2025 dan akan disempurnakan oleh Pengarah FAMA Sarawak.

Penganjur turut merancang pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, reruai pameran perkhidmatan oleh agensi seperti Agrobank, serta jemputan kepada agensi lain seperti AIM dan TEKUN untuk menyertai pada masa hadapan.

Selain itu, FAMA juga akan mengadakan Jualan MADANI Agro, menawarkan barangan asas seperti beras, minyak masak dan gula pada harga rahmah sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna.

Turut hadir Pegawai FAMA Bintulu, Mohd Nur Arbie dan Pengerusi Penjaja Pasar Tani Jepak, Mazhrull.-EDISI UKAS