Peruntukan MRP Digunakan Perkasa Komuniti Setempat

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Dalam usaha memperkukuh pembangunan akar umbi serta memantapkan kesejahteraan masyarakat setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa pertubuhan tempatan dalam satu majlis ringkas di Pusat Khidmat N.68 Tanjong Batu
pada Khamis.

Antara penerima sumbangan ialah Jawatankuasa Bencana Alam Bintulu, Persatuan Cina Bintulu (Bintulu Chung Hua Association), Persatuan Teochew Bintulu, serta Kumpulan Zikir Wanita Fasa 3 Kampung Assyakirin yang diwakili masing-masing oleh pemimpin komuniti setempat.

Dalam ucapannya, Johnny Pang menekankan agar peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara berhemah untuk memperkukuh perpaduan rakyat serta mempergiatkan pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat komuniti.

Beliau turut menegaskan peranan penting pertubuhan masyarakat sebagai penggerak nilai murni dan agen perpaduan, serta menyeru agar pertubuhan-pertubuhan terus aktif melibatkan golongan muda dalam aktiviti yang berunsurkan pendidikan, kebudayaan dan kebajikan.

Selesai sesi penyerahan, Johnny Pang meluangkan masa bersama wakil Kumpulan Tarian Fuzhou Wanita Persatuan Foochow Bintulu dan Tadika Bin Bin, bagi berbincang dan mendengar pandangan berkaitan peranan budaya dan pendidikan dalam memperkasa komuniti.-EDISI UKAS