BPHB Tubuh Rakan AADK Sempena Hari Etika 2025

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sekali lagi membuktikan komitmen tinggi terhadap integriti dan kesejahteraan sosial apabila mencipta sejarah sebagai syarikat korporat pertama di Malaysia menubuhkan Rakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sempena sambutan Hari Etika 2025, yang berlangsung di Auditorium Lembaga Pelabuhan Bintulu pada Khamis.

Majlis yang dihadiri lebih 300 warga kerja dan wakil komuniti itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.

Dalam ucapannya, Iskandar memuji langkah progresif BPHB yang bukan sahaja memperkukuh budaya kerja berintegriti, tetapi turut tampil berani sebagai peneraju korporat dalam memerangi penyalahgunaan dadah di tempat kerja.

“Langkah ini bukan sahaja berani, malah mencerminkan iltizam korporat BPHB terhadap kesejahteraan komuniti kerja dan keluarga mereka. Ia selari dengan usaha nasional membanteras gejala dadah dan memperkukuh sistem tadbir urus beretika,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah tidak mengenal latar belakang pekerjaan dan menyifatkan institusi keluarga sebagai barisan pertahanan utama dalam menangani isu tersebut.

Justeru, penubuhan Rakan AADK yang merangkumi pekerja, keluarga serta komuniti sekitar Taman Sri Pelabuhan Sepait, dianggap sebagai satu langkah holistik dan inklusif.

Program Hari Etika 2025 ini turut menampilkan ceramah kesedaran, tayangan video pendidikan, sesi libat urus bersama komuniti serta pameran oleh agensi-agensi berkaitan.

Ia sekali gus menjadi medium penting dalam membina budaya kerja yang bertanggungjawab dan beretika tinggi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani dan Presiden Transparency International Malaysia, Raymon Ram.-EDISI UKAS