LONG LAMA: Lebih 500 penduduk dari pelbagai pelusuk kawasan pedalaman hadir memeriahkan Program Randau Pembangunan (Townhall) sempena Majlis Penyerahan Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan dan Mulu yang berlangsung di Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Daerah Telang Usan itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, yang turut dihadiri Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan sijil pelantikan kepada 15 Ketua Kaum baharu dan dua Ketua Masyarakat (Penghulu) baharu di Daerah Telang Usan serta seorang Ketua Kaum di Beluru.
Selain itu, dua Ketua Kaum menerima lanjutan perkhidmatan, manakala seorang Penghulu dan enam Ketua Kaum menerima surat penghargaan atas khidmat bakti mereka, susulan faktor usia dan sebagainya.
Dalam pada itu, Dato Dennis menekankan bahawa pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan antara langkah penting dalam memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat luar bandar terus terpelihara.
Ujarnya, KMKK bukan sekadar jawatan, tetapi satu amanah besar dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat serta dasar kepada rakyat dan memastikan keharmonian komuniti terjaga.
Program turut diisi dengan taklimat berkenaan pelaksanaan pembangunan Daerah Telang Usan oleh Pejabat Daerah, potensi pelancongan kawasan pedalaman oleh Sarawak Tourism Board (STB) dan taklimat projek Jalan Penghubung Long Panai – Long Lama (Pakej 1B) oleh Highland Development Agency (HDA).-EDISI UKAS