KANOWIT: Kerjasama erat antara Ketua Masyarakat, Kapitan dan Ketua Isi Rumah amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti, khususnya masyarakat Cina di kawasan DUN Ngemah, menjadi asas utama kepada kejayaan sesuatu projek pembangunan.
“Tanpa kerjasama yang baik, segala perancangan tidak akan dapat dicapai dengan sempurna.
“Saya amat menghargai inisiatif Jawatankuasa Kebajikan Kaum Cina DUN Ngemah dalam menganjurkan sesi randau ini yang menjadi platform penting untuk berinteraksi secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi randau bersama Jawatankuasa Kebajikan Kaum Cina DUN Ngemah yang diadakan di Pedai Mini Mart, di sini, pada Rabu.
Anyi turut memberi jaminan bahawa agihan projek pembangunan di kawasan DUN Ngemah akan dilaksanakan secara adil tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.
Selain itu, beliau turut memberi penerangan berkenaan pelbagai inisiatif kerajaan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang penduduk di kawasan DUN Ngemah boleh memohon.
Beliau juga menyeru agar Ketua Masyarakat, khususnya Penghulu dan Kapitan, terus menyalurkan maklumat berkenaan kepada komuniti agar bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya lagi, bagi sebarang keperluan dan permasalahan penduduk, jawatankuasa boleh berhubung terus dengan pegawai Pusat Khidmat beliau bagi mendapatkan tindakan dan bantuan sewajarnya.-EDISI UKAS