KANOWIT: Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025, satu program gotong-royong telah dianjurkan di Tapak Perkuburan Mendiang Sarjan Mathew Medan, di Nanga Tada di sini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan beliau dalam mempertahankan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, menzahirkan penghargaan atas penganjuran inisiatif murni anjuran Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Negeri Sarawak Cawangan Kanowit tersebut.
Beliau berkata, program seumpama ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik dalam mengenang jasa pahlawan negara, tetapi turut menjadi wahana mengeratkan perpaduan dan kerjasama komuniti setempat.
"Penganjuran program hari ini membuktikan semangat setiakawan dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam mengenang jasa dan pengorbanan seorang wira negara.
“Program ini bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan perkuburan, tetapi ia adalah satu manifestasi penghargaan kita terhadap pejuang-pejuang yang telah berkorban demi keamanan dan kedaulatan tanah air yang kita cintai ini,” katanya.
Anyi turut menekankan bahawa pengorbanan mendiang Sarjan Mathew Medan yang merupakan anak jati Nanga Tada wajar dikenang dan dijadikan inspirasi kepada generasi masa kini.
“Jasa beliau dan juga semua pahlawan yang lain, tidak akan luput ditelan zaman.
"Mereka adalah lambang kekuatan dan semangat juang yang harus kita contohi dan warisi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata program gotong-royong seperti ini juga memberi impak positif kepada hubungan sosial masyarakat setempat.
"Apabila kita bekerjasama dan saling menolong seperti aktiviti membersihkan kubur ini, kita bukan sahaja menjaga kebersihan persekitaran, malah kita mengukuhkan ikatan silaturahim sesama kita. Inilah nilai-nilai murni yang perlu sentiasa kita semai dalam masyarakat kita,” tambahnya.
Menurut Anyi lagi, sambutan Hari Pahlawan bukan hanya satu acara tahunan, sebaliknya perlu dijadikan kesempatan untuk masyarakat menilai dan menginsafi harga sebenar kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi hari ini.
Hadir sama ialah Presiden PVTM Sarawak Francis Yeoh, Ketua PVTM Cawangan Kanowit Penghulu Pree Minggat, Penghulu Ugap Seribu, wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit Sarjan Bidat, serta jemputan yang lain.-EDISI UKAS