KUCHING: Seramai 27 tokoh wanita diraikan menerusi Buku Wanita Sarawak 2025: Sarawak Women Creating Legacies sebagai penghormatan kepada sumbangan mereka dalam membangunkan negeri Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata buku edisi ke-12 terbitan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) ini menghimpunkan kisah kejayaan wanita dari pelbagai latar kerjaya termasuk bidang pendidikan, sukan, keusahawanan dan perkhidmatan awam.
“Penerbitan ini membuktikan keteguhan, visi dan daya tahan wanita Sarawak yang bukan sahaja memberi impak besar kepada masyarakat setempat, malah turut mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya semasa melancarkan buku tersebut di sini, pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua tokoh wanita yang dipaparkan, termasuk mereka yang telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat nasional dan global.
Buku setebal 217 muka surat ini turut menampilkan rekaan kulit yang eksklusif dan elegan, mencerminkan ciri-ciri wanita Sarawak yang unik, berwibawa serta penuh dedikasi.
Dato Sri Fatimah turut menyatakan harapannya agar buku ini dapat diperkenalkan secara meluas kepada masyarakat umum, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi wanita muda untuk terus melakar kejayaan dan membina legasi masa depan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, serta Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS