BKK RM1,200 Setahun: Inisiatif Berterusan Kerajaan Sarawak Bantu Pelajar IPT

Posted on 30 Jul 2025
Source of News: UKAS


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menunaikan janji dengan menyalurkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) berjumlah RM1,200 setahun kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang layak, sekali gus membuktikan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pembayaran bantuan tersebut telah mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 1.15 petang hari ini kepada kumpulan pertama pelajar.

“Saya bersyukur kerana program ini berjaya dilancarkan tepat jam 1 petang tadi. Ini bermakna, apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Sarawak telah ditunaikan.

"Walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun janji tetap dikotakan,” katanya semasa ditemui UKAS selepas majlis pelancaran pembayaran BKK berkenaan di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Datuk Dr Annuar menambah, sebelum ini proses verifikasi yang teliti melibatkan 42,000 pemohon telah mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu, ada pelajar yang bertanya ‘bila duit itu akan masuk’.

"Saya mohon maaf kepada mereka kerana jumlah pemohonan sangat besar dan ini kali pertama kita melaksanakan proses verifikasi sebegini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Kerajaan Sarawak pada awalnya merancang untuk menyalurkan bantuan tersebut pada awal Julai, namun faktor teknikal dan keperluan pengesahan data menyebabkan sedikit kelewatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keutamaan Kerajaan Sarawak ialah memastikan bantuan benar-benar sampai kepada pelajar yang layak tanpa sebarang ketirisan.

“Jumlah RM1,200 setahun ini bermaksud RM100 sebulan bagi setiap pelajar. Ia merupakan bukti jelas bahawa Kerajaan Sarawak amat prihatin dan mahu memastikan para pelajar dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap pengajian mereka,” katanya.

Mengulas mengenai fasa permohonan seterusnya, beliau menjangkakan jumlah pemohon pada bulan September nanti mungkin lebih rendah, iaitu sekitar 15,000 pelajar sahaja, khususnya pelajar baharu yang akan mendaftar di institusi pengajian tinggi pada bulan tersebut.

“Bagi yang tercicir atau belum sempat memohon, mereka boleh mengemukakan permohonan apabila ia dibuka semula pada September nanti,” katanya lagi.

Program BKK ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang memberi keutamaan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai tunjang kemajuan Sarawak.-EDISI UKAS