KUCHING: Pengurusan sukan di Sarawak memperlihatkan pendekatan tersendiri yang lebih tersusun dan holistik apabila diselaraskan menerusi dua entiti utama iaitu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Pengarah MSNS Khairul Nizam Morshidi, pendekatan dwi-entiti ini membolehkan pembangunan sukan di negeri ini digerakkan secara lebih fokus dan berkesan mengikut keperluan semasa.
“Di Sarawak, pengurusan sukan kita agak berbeza sedikit berbanding di Semenanjung Malaysia. Kita tidak hanya bergantung kepada Majlis Sukan Negeri, tetapi juga membangunkan sukan melalui Perbadanan Sukan Sarawak.
“Perbadanan Sukan bertanggungjawab dalam pembangunan atlet, perancangan dan penyelenggaraan fasiliti sukan serta memastikan infrastruktur yang dibina memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Invitationals Fencing Championship (U15 & Open) 2025 di Hotel Grand Continental, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Majlis Sukan Negeri pula menumpukan perhatian kepada pembangunan atlet-atlet elit yang bakal mewakili negeri dan negara ke peringkat antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA dan Olimpik.
“Kita sudah ada perancangan dan hala tuju yang jelas yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui menteri yang bertanggungjawab.
“Malah, sebagai co-host Sukan SEA 2027, Sarawak dijangka menjadi tuan rumah kepada sekurang-kurangnya 16 acara yang akan berlangsung di Kuching,” ujarnya.
Selain itu, Khairol Nizam turut menekankan pentingnya sinergi antara agensi kerajaan, persatuan sukan tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan ekosistem sukan yang inklusif dan mampan.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada semua pihak untuk terus aktif menganjurkan kejohanan, khususnya yang berstatus antarabangsa, sebagai usaha memartabatkan sukan Sarawak ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan lawan pedang tersebut, beliau menyifatkannya sebagai platform penting dalam mencungkil bakat-bakat baharu sukan itu di Sarawak, selain menjadi medan pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Penganjuran kejohanan seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada atlet muda untuk bersaing secara kompetitif, malah memperkukuh semangat kesukanan dan setiakawan antara peserta dari pelbagai latar belakang.
“Jika kejohanan seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap, saya yakin kita mampu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi besar, sekali gus mengangkat martabat sukan lawan pedang di peringkat negeri dan kebangsaan,” tambah beliau.-EDISI UKAS