KUALA LUMPUR: Penantian kira-kira seramai 42,000 pelajar Sarawak yang kini menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara akhirnya berakhir dengan senyuman apabila Inisiatif Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak Di Institusi Pengajian Tinggi yang dijanjikan Kerajaan Sarawak direalisasikan hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah menunaikan janji seperti mana yang diumumkan semasa Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) sebelum ini bagi mencari inisiatif bagi membantu para pelajar IPT Sarawak di seluruh negara.
Menurut beliau, inisiatif BKK sebanyak RM1,200 ini disalurkan secara berperingkat melalui aplikasi S PAY Global melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50.4 juta.
"Jadi, hari ini saya menunaikan janji saya. Untung anak-anak Sarawak kerana mendapat bantuan kewangan yang disediakan, tapi pelajar beruntung bukan hanya sebagai anak Sarawak tetapi beruntung kerana memiliki Kerajaan Sarawak yang prihatin.
"Ini kerana, tidak semesti kerajaan dapat menunaikan janji seumpamanya, tetapi kita mempunyai Kerajaan Sarawak yang prihatin, yang tahu masa depan Sarawak, bagaimana hendak menurunkan kemiskinan dan bagaimana hendak memantapkan ekonomi Sarawak di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak Di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta kenamaan lain.
Premier Sarawak juga menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendidikan generasi muda dan merancakkan pembangunan ekonomi negeri menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Beliau menekankan bahawa bantuan ini diberikan tanpa mengira latar belakang sosial pelajar, sebagai satu bentuk sokongan strategik ke arah melahirkan generasi muda Sarawak yang intelek, berdaya saing dan mampu meneroka peluang bukan sahaja di dalam negeri, malah di peringkat antarabangsa.
“Kita sedang mempersiapkan anak-anak Sarawak untuk menjadi tenaga profesional bertaraf global.
"Struktur ekonomi dunia telah berubah. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk bekerja dan bersaing di luar sempadan Sarawak,” tegas beliau.
Terdahulu, Dato Sri Roland memberitahu, setiap pelajar layak menerima RM600 setiap semester, bersamaan dua kali setahun sepanjang tempoh pengajian mereka.
Katanya, langkah ini bukan sekadar menyokong keperluan kewangan, tetapi juga satu bentuk penghargaan dan dorongan kepada anak-anak Sarawak untuk terus fokus kepada pengajian mereka tanpa memikirkan masalah kewangan.
"Sebagai usaha berterusan memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima manfaat ini, fasa kedua permohonan akan dibuka pada September depan.
"la memberi peluang kepada pelajar yang baru mendaftar ke IPT atau mereka yang belum sempat membuat permohonan dalam fasa pertama yang lalu," katanya.-EDISI UKAS