KUCHING: Keperluan untuk membangunkan dasar dan rangka kerja etika global dalam industri media ditekankan sebagai satu isu penting dalam dunia media masa kini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini merupakan satu langkah yang signifikan dalam mempertahankan standard kualiti industri media di samping mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai sumber maklumat yang dipercayai.
Menurutnya, walaupun kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi, namun terdapat sempadan etika yang perlu dihormati dalam menjalankan fungsi media.
"Mesti ada tatacara dalam kita mengurus dan mengendalikan apa sahaja informasi yang kita kongsi kepada masyarakat.
"Dalam hal ini, saya syorkan supaya ada etika yang harus dibuat oleh pihak wartawan sendiri dengan mempunyai satu tanggungjawab kepada kemakmuran bersama,"katanya semasa ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024, di sini pada Ahad.
Persidangan bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan kerjasama AZAM Sarawak dan Business Events Sarawak.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Abdullah Zaidel.
SMEC 2024 berlangsung dari 26 hingga 27 Mei, berjaya menghimpunkan kira-kira 500 orang pengamal media dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.-Edisi UKAS