Persiapan Penganjuran Borneo Games Kuching 2025 Dipergiatkan

Disiarkan pada 29 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) telah mengadakan perbincangan bagi memperhalusi persiapan penganjuran Borneo Games Kuching 2025 dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 September ini.

Perbincangan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama UKAS hari ini disertai Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan secara zoom meeting, Timbalan Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Ketua Sekretariat Borneo Games Kuching 2025, Khairul Nizam Morshidi serta wakil-wakil dari kedua-dua agensi.

Fokus perbincangan tertumpu kepada persiapan menyeluruh UKAS bersama rakan strategik dari sudut publisiti menggunakan platform media sosial dan cetak bagi memastikan liputan meluas terhadap penganjuran sukan dwitahunan itu.

Selain itu, turut dibentangkan semasa perbincangan, persiapan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Sekretariat Borneo Games Kuching 2025 mencakupi pendaftaran atlet, pakaian rasmi, penginapan, penetapan acara sukan, venue, tarikh-tarikh penting dan pelbagai lagi.

Untuk rekod kira-kira 1,500 atlet dari Sarawak, Brunei Darussalam, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kalimantan Timur akan mengambil bahagian dalam edisi kali ini.

Ia akan mempertandingkan tujuh jenis sukan, lima daripadanya sukan teras iaitu renang, boling padang, memanah, badminton dan olahraga.

Manakala dua lagi sukan tradisional iaitu menyumpit dan tarik tali.

Selain itu, satu lagi sukan iaitu golf turut diadakan khas untuk tetamu kenamaan.

Kesemua venue kejohanan akan berlangsung di sekitar Kompleks Sukan Sarawak di sini manakala golf akan diadakan di Kelab Golf Sarawak. - EDISI UKAS