PROSPEK inisiatif perkasa ekonomi luar bandar

Disiarkan pada 29 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


MATU: Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Daerah Matu pada Isnin.

Lawatan ini bertujuan meninjau pelaksanaan serta menilai impak PROSPEK terhadap pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar menjelang tamat tempoh pelaksanaannya tahun ini.

Menurut Dato Sri Rohani, PROSPEK merupakan inisiatif penting kerajaan dalam memperkasakan ekonomi luar bandar melalui penyediaan infrastruktur dan sokongan kepada pengusaha produk tempatan.

“Melalui lawatan ini, kita dapat melihat sendiri bagaimana usaha-usaha yang digerakkan sejak tahun 2020 kini menampakkan hasil yang positif, termasuk peningkatan dalam pengeluaran produk seperti hasil laut dan kraftangan tempatan,” katanya.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat bersama pihak Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) dan Pejabat Daerah Matu di Hotel Kingwood Mukah sebelum diteruskan ke tiga lokasi pelaksanaan projek iaitu Kampung Loba Balu, Kampung Kuala Matu dan Kampung Treng Matu.

Antara produk yang diusahakan termasuklah sesar unjur (udang salai), pipus sejenis makanan tradisional laut yang dibakar dalam daun nipah muda, serta kraftangan ikonik Matu iaitu Seraong Mato (Terendak).

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi pelaksana dan penduduk kampung yang terlibat, serta berharap agar momentum ini dapat dikekalkan dalam inisiatif pembangunan luar bandar yang akan datang.

Setakat ini, PROSPEK di Matu dilaporkan berjalan dengan baik dan memberikan impak positif terhadap ekonomi masyarakat setempat.

Projek ini mula dilaksanakan pada tahun 2020 dan dijangka tamat pada penghujung tahun 2025.-EDISI UKAS