Sarawak Naib Juara Kejohanan Muaythai Pra SUKMA, Grand Prix Kebangsaan 2025

Disiarkan pada 29 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUALA LUMPUR: Penyertaan kontinjen Sarawak pada Kejohanan Muaythai Sukan Tempur Kebangsaan (Pra SUKMA) & Kejohanan Muaythai Grand Prix Kebangsaan 2025 nyata tidak sia-sia apabila berjaya muncul naib juara keseluruhan.

Kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 Julai lalu menyaksikan atlet Bumi Kenyalang yang bernaung di bawah KSSC Sarawak mengumpul 9 pingat emas, 5 perak dan 10 gangsa untuk mengatasi pasukan muaythai Melaka di tempat ketiga.

Manakala kontinjen Muaythai Sabah gah selaku juara keseluruhan.

KSSC Sarawak diwakili Kelab Muaythai Kenyalang (MTK), Sting Kuching, Phoenix Meranek Samarahan, Bau MT Club, SS Fighter Petrajaya, Kilas Petra Jaya, Singa 30 Miri dan Legacy Kuching.

Selain itu, ia turut disertai empat kelab lain menggunakan kos sendiri iaitu Kelab Muaythai D30 Miri, Kelab Muaythai PS Bintulu, Kelab Muaythai Kilas Petra Jaya dan Kelab Muaythai Rentap Kuching.

Mencuri tumpuan kejayaan pemenang pingat perak SUKMA 2024, Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid merangkul Tali Pinggang Kebangsaan dalam kategori 75kg-80kg selain turut memenangi perlawanan muaysports dalam kategorinya sendiri.

Selain itu, Kelab Rentap Muaythai, Adrynna Thanichaa turut menceriakan kem Sarawak susulan kejayaannya merangkul pingat emas selain turut dinobatkan “Best Boxer” Wanita.

Pencapaian memberangsangkan atlet Sarawak pada kejohanan tersebut menarik perhatian Presiden Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.

Katanya, kejohanan tersebut menjadi medan pendedahan terbaik untuk atlet negeri mengasah bakat sebagai persediaan menghadapi kejohanan yang lebih besar selepas ini.

“Kita memang tidak meletakkan sasaran tinggi untuk kejohanan ini kerana misi utama adalah untuk memberi pendedahan kepada atlet.

“Namun atlet kita beraksi dengan cemerlang dan berjaya menghadiahkan 9 pingat emas, 5 perak dan 10 gangsa untuk membolehkan kita muncul naib johan.

“Syabas saya ucapkan, walaupun ramai atlet ini masih baharu dan muda lagi, namun mereka menunjukkan potensi yang besar untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat bagaimanapun mengingatkan para atlet bahawa perjalanan mereka masih jauh dan terus gigih berlatih memantapkan lagi kemahiran.

Katanya, PMNS akan terus menghantar atlet yang berpotensi menyertai banyak lagi kejohanan pendedahan agar mereka bersedia beraksi di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

“Sudah tentu misi utama kita untuk mengekalkan kejuaraan dalam acara muaythai pada SUKMA 2026. Namun kita sedar ia bukan tugas mudah kerana negeri lain juga semakin meningkat.

“Kejohanan ini dan banyak lagi kejohanan yang akan kita sertai selepas ini menjadi platform untuk mempersiapkan anda semua menghadapi SUKMA 2026 kelak. Justeru anda semua harus teruskan latihan dari masa ke semasa,” tambah Jumaat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri khususnya Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas suntikan dana membolehkan PMNS menyertai kejohanan berprestij tersebut.

Selain itu, ucapan terima kasih turut dilontarkan kepada para jurulatih, pengurusan pasukan serta ibu bapa yang membantu dalam penyelarasan pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.

Seramai 2000 peserta melibatkan lima disiplin sukan tempur iaitu karate, wushu, muay thai, silat dan gusti mengambil bahagian dalam kejohanan yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. - EDISI UKAS