Geran MRP Kukuh Perpaduan Komuniti, Projek Lebuhraya Impak Besar untuk Limbang

Disiarkan pada 28 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


LIMBANG: Komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan akar umbi dan menaik taraf infrastruktur terus dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berlangsung di Dewan Kampung Bunga Raya di sini pada Ahad.

Majlis anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Limbang itu menyaksikan penyampaian cek geran MRP berjumlah RM401,000 oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, kepada 40 penerima mewakili Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah, JKKK kampung, persatuan serta kelab belia.

Menurut Datuk Hasbi, proses tatakelola bagi geran MRP kini lebih ketat bagi memastikan dana hanya disalurkan kepada pertubuhan yang sah dan berdaftar di bawah ROS atau kementerian berkaitan.

Beliau turut menasihati agar JKKK kampung bersedia dengan surat permohonan lebih awal untuk permohonan tahun hadapan.
“Prosedur ini bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk memastikan dana kerajaan digunakan secara telus dan bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa geran ini mampu mendorong pertubuhan akar umbi untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, program kesedaran, sambutan perayaan serta menaik taraf kemudahan awam seperti dewan serbaguna, gelanggang sukan dan rumah ibadat.

Selain aspek pembangunan komuniti, Datuk Hasbi turut memaklumkan mengenai kemajuan dua projek lebuh raya utama di Limbang iaitu Northern Coastal Highway (NCH) dan Projek Trans Borneo Highway, masing-masing dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Projek Trans Borneo Highway yang akan melibatkan pelebaran Jalan Persekutuan dari CIQS Tedungan ke KEMAS Limbang dan CIQS Pandaruan kini telah diluluskan di peringkat Kementerian Ekonomi dan sedang menunggu fasa pelaksanaan.

“Kerja pelebaran jalan menjadi dual carriageway ini akan memberi kesan sementara kepada kelancaran trafik dan keselesaan penduduk, namun saya harap rakyat bersabar demi kemajuan jangka panjang,” jelasnya.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah wakil Residen Limbang, Aspalela Mohamad Sahmoni; Penolong Pegawai Daerah, Mariati Samat; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Marlina Zaini; dan wakil Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Peter Jumat.-EDISI UKAS