MIRI: Promosi karya sastera penulis-penulis tempatan ditonjolkan melalui penganjuran Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri (MPPBM) 2024 yang diadakan di Pustaka Negeri Sarawak Miri pada Sabtu.
Penganjuran pada tahun ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Bandar Raya Miri yang ke-19 dan sebagai tanda penghargaan program ini turut dimasukkan dalam Kalendar Aktiviti Sambutan Miri Fest 2024.
Program yang diadakan secara sinergi ini melibatkan agensi dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Pustaka Negeri Sarawak dan Pejabat Residen Miri.
Timbalan Datuk Bandar Raya Miri, Kaunselor Ariffin Mohamad berharap program ini akan menjadi batu asas dalam membentuk serta memupuk minat masyarakat Miri dalam bidang kesusasteraan kebangsaan.
"Usaha seperti ini dapat melahirkan karyawan dan ilmuan dalam bidang kebahasaan, sastera dan persuratan. Peranan dan sumbangan mereka diperlukan dalam memperkasakan sastera kebangsaan sebagai tatapan generasi masa hadapan," katanya lagi.
Selain itu, turut diadakan persembahan deklamasi puisi dan lagu puisi oleh penggiat seni dan sastera yang hadir serta majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara sempena Festival Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2024 yang berlangsung dari 20 hingga 23 Mei lalu.
Puisi yang dibacakan pada malam ini dituliskan khas dengan mengangkat keunikan Bandar Raya Miri sebagai tema.
Hadir sama dalam majlis ini, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai, Sasterawan Negeri Sarawak, Zainal Abidin Suhaili, ahli-ahli MBM serta Ketua Masyarakat dan Kaum.-EDISI UKAS