Program PKD Mobile Batang Lupar 2025 Perkukuh Akses Perkhidmatan Kerajaan Luar Bandar

Disiarkan pada 28 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile Batang Lupar 2025, anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuhkan lagi akses kepada perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program PKD Mobile ini bertujuan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus ke kawasan luar bandar, sekali gus memastikan komuniti seperti di Pusa mendapat akses kepada maklumat, bantuan dan peluang pembangunan secara lebih menyeluruh.

“PKD merupakan inisiatif utama KKDW dalam memperkasa komuniti desa menerusi pelbagai aktiviti seperti latihan kemahiran, program pemerkasaan wanita, aktiviti kesukarelawanan dan ekonomi, serta penyediaan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat.

“Pendekatan PKD Mobile sebagai platform bergerak membolehkan perkhidmatan dan maklumat disampaikan terus kepada penduduk di kawasan sukar diakses dan tiada kemudahan PKD fizikal,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Program PKD Mobile Batang Lupar 2025, di sini, pada Ahad.

Tambah beliau lagi, inisiatif Mini PKD Mobile juga turut diperkenalkan sebagai pendekatan lebih fleksibel bagi menyantuni komuniti di kawasan pedalaman kecil atau terpencil sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan tiada komuniti desa tercicir daripada menerima manfaat pembangunan dan akses kepada perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli menegaskan bahawa program sebegini amat sesuai dilaksanakan di kawasan luar bandar seperti Pusa yang jauh dari pusat bandar, kerana ia memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan serta berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan PKD Mobile bukan sahaja memperluas capaian maklumat kepada penduduk, tetapi juga membantu memperkasakan ekonomi tempatan, khususnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan desa yang berdaya saing dan berpotensi mempromosikan produk tempatan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW Noraina Masduki @ Abdul Hannan, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Pusa Jamain Wahab. -EDISI UKAS