TATAU: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar diterjemah menerusi majlis Mangkung Tiang dan Perasmian Jalan Bertar di Rumah Rawing Manja, Ulu Mejau, pada Sabtu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.
Majlis yang disertai lebih 500 penduduk setempat itu turut menyaksikan pengumuman peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM18,000 kepada JKKK Rumah Rawing, sebagai sokongan kepada pembangunan komuniti.
Dalam ucapannya, Dato Sri John Sikie menekankan pentingnya aspek keselamatan dan keseragaman struktur rumah panjang, terutamanya ruai yang seragam sebagai lambang perpaduan dan estetika komuniti.
“Langkah keselamatan seperti membina bata antara pintu hingga ke paras bumbung serta pematuhan piawaian pendawaian elektrik adalah penting dalam mencegah kebakaran,” tegasnya.
Beliau juga menyeru agar Biro Keselamatan di bawah JKKK memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan kampung.
Menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA), pembangunan kawasan Kakus terus digerakkan dengan kelulusan projek-projek penting.
Ia termasuk RM60 juta untuk menaik taraf jalan dari Nanga Kelebu ke Rumah Ado, RM10 juta untuk jalan ke Ulu Mejau, dan RM10 juta bagi jalan ke Entajum, Tatau.
Beliau turut menekankan bahawa di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), kerajaan menyasarkan pendapatan isi rumah RM15,000 sebulan, dan langkah ini disokong melalui penyediaan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak.
Majlis Mangkung Tiang ini bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Iban, malah menjadi platform penyatuan komuniti dalam menyambut projek pembangunan baharu yang bakal meningkatkan taraf hidup rakyat di pedalaman.-EDISI UKAS