Mural 3D ‘Random Female Skate Boarder’ Jadi Tarikan Baharu di Bulatan Skate Park Miri

Disiarkan pada 28 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bulatan Skate Park di Taman Bulatan Miri kini menampilkan wajah lebih segar dengan kemunculan mural lantai tiga dimensi (3D) bertajuk “Random Female Skate Boarder”, hasil karya seni jalanan pelukis tempatan, Kong Chak Kiong, atau lebih dikenali sebagai Jagung.

Mural interaktif ini telah menarik perhatian pengunjung, terutamanya golongan belia dan peminat sukan ekstrem, serta dijangka menjadi salah satu ikon baharu pelancongan kreatif di bandaraya Miri.

Karya tersebut dipilih menerusi proses undian awam yang dijalankan pada April lalu dan berjaya meraih undian tertinggi berbanding rekaan-rekaan lain yang dipertandingkan.

Lukisan ini mula direalisasikan pada 16 April dan siap sepenuhnya pada bulan Julai, menandakan satu lagi kejayaan seni awam hasil inisiatif bersama masyarakat dan sektor swasta.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, turut hadir meninjau mural tersebut baru-baru ini.

“Reka bentuk ini dipilih oleh rakyat Miri sendiri, dan ini menjadikan ia lebih istimewa. Ia mencerminkan semangat dan kreativiti belia kita serta menjadi simbol kebanggaan komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Bulatan Skate Park kini sedang dirancang untuk dinaik taraf menjadi antara taman riadah paling lengkap di Sarawak, dengan kemudahan seperti laluan joging, gelanggang bola keranjang, zon papan selaju, kawasan sukan basikal dan permainan aksi yang inklusif.

Mural ini adalah hasil kolaborasi dengan Kumpulan Shin Yang, yang menaja sepenuhnya pembinaannya menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dengan kewujudan karya seni ini, Bulatan Skate Park dijangka menjadi destinasi tumpuan baharu bukan sahaja kepada peminat sukan ekstrem dan pengunjung tempatan, malah juga kepada pelancong dan pencinta seni jalanan dari dalam dan luar negara.-EDISI UKAS