Siniawan Country Music Festival Bakal Diadakan 26-27 September Ini

Disiarkan pada 27 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Siniawan Country Music Festival 2025 bakal kembali menghangatkan suasana pada 26 hingga 27 September ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, festival yang kini memasuki edisi kelapan itu terus mendapat sambutan hangat saban tahun dan telah berkembang menjadi antara festival muzik country terbesar di Asia.

“Selain penganjuran festival muzik, tiga lagi acara utama turut dijadualkan berlangsung serentak, termasuk perasmian Pekan Siniawan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena sambutan ulang tahun Pekan Siniawan sejak penubuhannya pada tahun 1840, serta ulang tahun ke-50 Siniawan Street Night Market yang menjadi tarikan pelancong,” katanya dalam satu sidang media festival tersebut pada Sabtu.

Ujarnya, festival kali ini akan berlangsung di lokasi baharu iaitu di Waterfront Siniawan, dengan persembahan istimewa daripada 11 kumpulan pemuzik tempatan dan luar Sarawak yang dijangka akan memeriahkan pentas selama tiga hari berturut-turut.

Miro Simuh turut berharap agar festival ini dapat dipromosikan secara meluas agar lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara dapat hadir dan sama-sama meraikan kepelbagaian budaya serta keunikan Siniawan.

“Kita mahu festival ini bukan sahaja mengangkat muzik country, tetapi juga menjadi platform yang mengukuhkan lagi identiti dan warisan Siniawan sebagai destinasi pelancongan budaya yang ikonik,” ujarnya. -EDISI UKAS