Ribuan Pengunjung Meriahkan Hari Kedua Pesta Sematan 2025

Posted on 27 Jul 2025
Source of News: UKAS


SEMATAN: Pekan Sematan terus menjadi tumpuan ribuan pengunjung sempena hari kedua Pesta Sematan 2025 yang berlangsung meriah sejak pagi hingga ke malam, dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan artis popular tanah air.

Program anjuran Pejabat Daerah Lundu ini menyaksikan kehadiran lebih 3,000 orang pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong luar termasuk kehadiran ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Dato Sri Nancy Shukri yang hadir menyantuni masyarakat serta memberikan sokongan terhadap usaha memperkasakan semangat komuniti melalui penganjuran acara berimpak tinggi seperti ini.

Sepanjang hari, pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk Pertandingan Tarik Tali Pantai, Bot Laju, Sukan Rakyat, Futsal, Karaoke dan Badminton, yang bukan sahaja menghiburkan pengunjung malah mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Kemuncak sambutan hari kedua ialah Konsert Rakyat yang berlangsung pada sebelah malam. Persembahan bertenaga daripada barisan artis terkenal tanah air seperti Eyqa Saiful, Amelina dan Rahmat Mega berjaya menghangatkan suasana dan menghiburkan ribuan penonton yang hadir.

Pesta Sematan 2025 diteruskan lagi dengan pelbagai acara menarik sepanjang hujung minggu ini, sekali gus menjadikan Sematan sebagai destinasi pelancongan budaya dan rekreasi yang terus berkembang di Bahagian Kuching. -EDISI UKAS