BINTANGOR: Hari Santai Bersama Keluarga anjuran Persatuan Jururawat Masyarakat sedikit sebanyal dapat memberi kesan yang positif khususnya kepada warga kerja dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program seumpama ini dapat memupuk kesedaran tentang kepentingan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga melalui aktiviti riadah yang sihat.
Di samping itu katanya, ia juga dapat mengekalkan dan mengukuhkan hubungan sesama staf bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan saling menyokong.
“Lebih penting, program ini menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara staf, keluarga dan masyarakat awam, selaras dengan semangat perpaduan komuniti.
“Saya percaya bahawa melalui acara santai seperti ini, termasuk pertandingan poco-poco yang bukan sahaja menyeronokkan malah turut memberi manfaat dari segi kesihatan dan kecergasan, serta pelbagai aktiviti kekeluargaan lain,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan pada Sabtu.
Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyumbangkan dana di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Jururawat Masyarakat untuk menjalankan aktiviti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Sarikei Nabilah Nor Sabli, Penyelia Jururawat U7 Bahagian Sarikei Naziera Jera Abdullah, Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bintangor merangkap Penyelaras Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Wellness of Workers (WOW), Klinik Kesihatan Bintangor Aduen Impieng, Pengerusi Jururawat Masyarakat selaku Penganjur Program Hari Keluarga Anita Suppi dan Pengerusi Kelab Anak Seni Meradong Hanisah Rosedi. -EDISI UKAS