Spaoh Agrofest 2025 Pacu Transformasi Pertanian Betong

Disiarkan pada 26 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Program Spaoh Agrofest 2025 yang berlangsung di Tebingan Sungai Spaoh memperkukuh dan memodenkan sektor pertanian luar bandar, khususnya di Bahagian Betong, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan pertanian sebagai pemacu ekonomi negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) itu menjadi platform penting bagi memperkenalkan teknologi serta pendekatan baharu dalam bidang pertanian.

Justeru beliau menyeru semua peserta dan pengunjung untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diketengahkan sepanjang program ini, terutamanya berkaitan penggunaan teknologi pertanian moden.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menegaskan bahawa beliau ingin melihat rakyat Sarawak menikmati pendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Justeru, sektor pertanian perlu melalui satu proses transformasi menyeluruh, termasuk penggunaan teknologi canggih serta penyertaan golongan belia,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan pada Sabtu.

Datuk Amar Douglas turut memaklumkan bahawa di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), pelbagai strategi telah dirangka untuk melonjakkan pendapatan rakyat luar bandar, termasuk pembangunan taman agro bersebelahan Spaoh dengan peruntukan berjumlah RM200 juta.

Menurutnya, projek tersebut akan melibatkan pembinaan 60 ekar rumah hijau (greenhouse) dan disokong oleh empat syarikat utama, bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran lebih luas.

Selain itu, pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian serta perancangan lapangan terbang baharu di Betong turut dirangka bagi memperkukuh rantaian bekalan pertanian dan memudahkan akses pasaran luar kawasan, tambahnya.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Anugerah Usahawan Jaya kepada usahawan tempatan yang berjaya dalam pelbagai bidang pertanian.

Penerima anugerah tersebut ialah Jamilah Unai (Industri Asas Tani – kerepek pisang), Enggu Tambi (Penternakan – khinzir, ayam dan itik), Bantan Jerman (Akuakultur – ikan air tawar) dan Marldson Sanggin Maoh (Tanaman – hidroponik dan fertigasi) yang mana masing-masing menerima wang tunai RM1,000, piala dan sijil penghargaan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razali Gapor, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas.-EDISI UKAS