PADAWAN: Rakyat Sarawak khususnya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta generasi muda diseru untuk mendalami dan memahami sejarah kemerdekaan wilayah ini untuk memperkukuhkan semangat kenegaraan.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, pengetahuan sejarah seperti peristiwa penyerahan kuasa oleh Gabenor British terakhir, Sir Alexander Waddell, serta pelantikan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama, perlu diketengahkan kepada generasi muda.
“Ini penting agar mereka memahami bahawa Sarawak pernah berdiri sebagai wilayah berkerajaan sendiri sebelum bersama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
“Walaupun tidak diberikan banyak perhatian dalam sejarah arus perdana, 22 Julai tetap dikenang sebagai titik permulaan kepada autonomi politik Sarawak sebelum bersama membentuk negara Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Hari Sarawak 2025 Daerah Kecil Padawan, yang berlangsung di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menegaskan pentingnya KMKK diperkasakan untuk memainkan peranan dalam membangunkan ekonomi komuniti dan menangani isu kemiskinan, sebagai lanjutan daripada semangat perjuangan yang telah dimulakan sejak awal kemerdekaan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap. -EDISI UKAS