Sarawak Perkukuh Rantaian Bekalan Makanan Negara, Eksport Khinzir Hidup Ke Semenanjung Malaysia

Disiarkan pada 25 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak mencatat satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan negara melalui eksport khinzir hidup ke Semenanjung Malaysia, dengan Selangor sebagai destinasi pertama.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, acara ini menandakan permulaan kepada kerjasama logistik strategik antara Green Breeder Sdn Bhd dan rakan strategik.

Menurut beliau, syarikat tersebut merancang untuk meningkatkan jumlah eksport dan memperluaskan penghantaran ke negeri-negeri lain pada masa hadapan.

“Penghantaran percubaan pertama melibatkan 800 ekor khinzir merupakan satu pencapaian penting dalam menilai kecekapan logistik dan protokol ujian yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia dan DVS Sarawak.

“Setelah operasi menjadi stabil, kami menjangkakan peningkatan eksport sehingga 2,000 ekor khinzir setiap minggu. Selain itu, kami sedang giat meneroka peluang untuk berkembang ke negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Johor.

“Ini akan menjana pendapatan sebanyak RM8,000 seminggu kepada Kerajaan Sarawak melalui pensijilan dan permit eksport yang dikeluarkan oleh DVS Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Program Pemunggahan Rasmi Khinzir Hidup Dari Kuching Ke Selangor di sini pada Jumaat.

Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut memaklumkan bahawa Green Breeder Sdn Bhd kini mengeksport 2,000 ekor khinzir hidup setiap minggu ke Singapura, dengan perbincangan sedang berjalan untuk meningkatkan jumlah tersebut.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini yang membawa kita selangkah lebih dekat dalam merealisasikan hasrat menjadikan negeri kita sebagai pengeksport makanan bersih menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS),” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, DVS dan DVS Selangor atas sokongan penuh dalam menjayakan eksport khinzir hidup pertama dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, perkembangan ini membawa Sarawak selangkah lebih dekat kepada visi jangka panjang untuk menjadi pengeksport makanan bersih, dan menyumbang kepada agenda nasional dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta daya tahan perdagangan. –EDISI UKAS