Rabies App & Deep Litter Bedding Bawa Kejayaan Sarawak Di Hari Inovasi DVS 2025

Disiarkan pada 24 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


PUTRAJAYA: Sarawak terus menonjol di peringkat kebangsaan apabila dua wakil dari negeri ini berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam Hari Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Julai bertempat di Dewan Serbaguna Wisma Tani, Putrajaya.

Program tahunan berprestij anjuran DVS ini menghimpunkan pelbagai inovasi daripada seluruh negara dalam lima kategori utama iaitu Inovasi Pendigitalan, Teknologi, Perkhidmatan, Industri (Produk) dan Industri (Pengeluaran Ternakan).

Dalam penganugerahan tersebut, Kumpulan DVETS dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak muncul Johan Anugerah Inovasi Pendigitalan menerusi aplikasi inovatif mereka, Rabies App, yang membolehkan pengurusan kes penyakit rabies serta kesedaran awam dilaksanakan secara digital dan lebih sistematik.

Manakala wakil sektor swasta dari Sarawak, Alam Bumi Jaya, sebuah syarikat yang berpangkalan di Karabungan, Miri, turut mencipta kejayaan apabila diumumkan sebagai Johan Anugerah Inovasi Industri (Pengeluaran Ternakan) menerusi inovasi Deep Litter Bedding, satu pendekatan ternakan mampan yang membantu mengurangkan bau serta meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan haiwan.

Pasukan DVETS diketuai oleh Rovits Regen bersama Penolong Ketua, Nurul Diana Hussaini, serta ahli pasukan, Josprin Edwin, Magdalene Marin, Jerina Peter Pee, dan Linda Gregory.

Turut berperanan sebagai fasilitator ialah Judas Ligon dan Nur Aqma Syairah Syafiqah.

Sementara itu, wakil Alam Bumi Jaya terdiri daripada dua individu berpengalaman dalam sektor ternakan iaitu Loh Jack Shing dan Michael Chan Ah Choi, yang membuktikan bahawa inovasi dari luar bandar Sarawak mampu bersaing di peringkat nasional.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DVS, Dr. Akma Ngah Hamid.

Penganjuran Hari Inovasi DVS ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada pencapaian para inovator dalam bidang veterinar dan penternakan, malah menjadi pemangkin kepada usaha berterusan mencipta solusi baharu yang lebih efisien dan lestari demi menjamin kesejahteraan haiwan dan kelestarian industri makanan negara.-EDISI UKAS