LIMBANG: Tindakan pantas dan kecekapan anggota Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barangan terlarang di kawasan persempadanan negara awal pagi ini.
Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi pada Khamis, sebuah kereta Perodua Myvi yang mencurigakan telah ditahan ketika menuju ke sebuah jeti di kawasan sempadan semasa trup 9 RS menjalankan rondaan rutin.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 680 karton rokok pelbagai jenama dan 16 karton minuman keras yang dipercayai cuba diseludup keluar melalui laluan sungai.
Pemandu kenderaan, seorang lelaki warga tempatan yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, turut ditahan bagi siasatan lanjut.
Keseluruhan rampasan termasuk barangan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM139,228.30 dan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman, turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada trup 9 RS atas kejayaan membanteras jenayah rentas sempadan, sekali gus membantu mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Tentera Darat Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara demi mengekang sebarang aktiviti haram yang mengancam keselamatan nasional. -EDISI UKAS