UTS Bukti Keprihatinan Sarawak, Bukan Milik Golongan Tertentu

Disiarkan pada 24 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bukan milik eksklusif golongan tertentu, sebaliknya merupakan institusi pengajian tinggi milik rakyat Sarawak yang ditubuhkan demi manfaat semua golongan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Datuk Dr Annuar berkata, semasa awal pelantikannya sebagai Pengerusi UTS pada tahun 2021, universiti itu berdepan pelbagai cabaran termasuk persepsi negatif masyarakat yang menganggap UTS hanya untuk golongan berpendapatan tinggi disebabkan kadar yuran pengajian yang tinggi.

Tegas beliau, situasi tersebut bukan berpunca daripada dasar universiti yang eksklusif, sebaliknya disebabkan kekangan kewangan dalam menampung kos operasi universiti yang masih baharu ketika itu.

“Semasa pilihan raya negeri, saya telah diprovokasi oleh beberapa individu yang mendakwa UTS dibina dengan dana kerajaan, tetapi tidak terbuka kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya duduk berbincang dengan Prof. Dr Khairuddin dan kami mengakui bahawa majoriti pelajar ketika itu memang terdiri daripada keluarga berpendapatan tinggi kerana yuran yang dikenakan.

"Namun kita tidak boleh menyalahkan UTS, mereka juga bergelut untuk bertahan. Menguruskan universiti bukan sesuatu yang murah,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan UTS di sini pada Rabu.

Menjelas lanjut, Datuk Dr Annuar berkata, melihat kepada keperluan mendesak untuk mengubah persepsi dan membuka akses pendidikan tinggi kepada semua, beliau bersama pihak pengurusan UTS telah mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak supaya memperkenalkan biasiswa 50 peratus kepada semua pelajar serta biasiswa tambahan 80 peratus khusus untuk pelajar daripada kumpulan B40.

Inisiatif ini tambah beliau, memberi impak ketara dengan menyaksikan peningkatan jumlah pelajar daripada sekitar 1,000 orang kepada lebih 4,000 pelajar ketika ini dan dijangka mencecah 5,000 pelajar menjelang hujung tahun ini iaitu kapasiti maksimum universiti pada masa ini.

Lebih membanggakan, jelas beliau, peratusan pelajar dari kumpulan B40 turut meningkat dengan ketara daripada hanya lapan peratus kepada hampir 40 peratus, hasil pendekatan yang inklusif dan berjiwa rakyat.

Mengulas mengenai pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bermula tahun hadapan, Datuk Dr Annuar menyifatkannya sebagai langkah berani dan bersejarah oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasakan modal insan negeri ini.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sendiri menyatakan bahawa beliau tidak pernah berjanji untuk memberikan pendidikan percuma tetapi kita tetap laksanakannya.

“Tiada negeri lain di Malaysia, termasuk yang paling kaya, mampu menyaingi Sarawak dalam hal ini dalam masa 10 tahun akan datang,” tegasnya.

Sehubungan itu, Datuk Dr Annuar menyeru semua pihak agar terus memberikan kerjasama bagi memastikan UTS bukan sahaja menjadi universiti terbaik di Sarawak, malah mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid dan Timbalan Naib Canselor UTS Prof. Ir Ts. Dr. Mohd Shahril Osman.-EDISI UKAS