KPKM Peruntuk RM153.6 Juta Bangunkan Infrastruktur Pengairan, Saliran Di Skim Jelapang Padi Lingga/Banting

Disiarkan pada 25 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan sebanyak RM153.6 juta untuk pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran Fasa 1 di Blok C dan D dan di Skim Jelapang Padi Lingga/Banting

Menurut Ahli Parlimen P201 Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, projek tersebut dianggarkan siap pada tahun 2026.

Tambahnya, KPKM juga sedang dalam proses untuk melaksanakan projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur tersier di Blok A dan Blok B di Stumbin.

“Naik taraf infrastruktur ini dengan anggaran kos sebanyak RM19 juta dan dijangka siap pada tahun 2027,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra  Mantar Gawai  Dayak Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen P202 Sri Aman DUN N.28 Lingga di Rh Florence Stumbin pada Jumaat.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan pusat akan terus bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan infrastruktur pertanian di kawasan Stumbin yang merupakan sebahagian daripada Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar.

“Jadi harapan saya untuk melihat kawasan Stumbin ini dapat dibangunkan sebagai kawasan jelapang padi utama di wilayah Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan menambahbaik sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Tambahnya, beliau telah dimaklumkan sesi Parlimen baru-baru ini bahawa KPKM telah menyiapkan dua projek dengan Kos keseluruhan sebanyak RM110 juta dibawah peruntukan, Rancangan Malaysia Ke-11 bagi pembangunan jelapang padi yang berkeluasan 1,500 hektar merangkumi kawasan Bijat, Stumbin, Gran dan Entulang.

Pada majlis tersebut, Mohamad Shahfizan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor menyampaikan sumbangan bersama sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rh Florence Stumbin bagi membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini. -EDISI UKAS