Gelombang Kedua Pembangunan Bintulu Fokus Di Jepak, Jalan Empat Lorong ke Lapangan Terbang Akan Dibina

Posted on 23 Jul 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Kerajaan Sarawak bakal melancarkan gelombang kedua pembangunan Bintulu dengan tumpuan utama di kawasan Jepak melalui pembinaan jalan baharu empat lorong yang menghubungkan Jambatan Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu.

Perancangan strategik itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menyifatkan projek tersebut sebagai pemacu utama kepada pembangunan masa hadapan Jepak yang dirancang secara menyeluruh merangkumi pusat komersial, perumahan moden serta rumah mampu milik berharga berpatutan.

“Selepas jambatan ini, kita akan membangunkan jalan penghubung dari jambatan ke airport, Jalan Baharu Empat Lorong.

“Ini akan membukakan kawasan urban development termasuklah pusat komersial, perumahan termasuk rumah mampu milik yang moden dengan harga berpatutan.

“Kita juga akan kembangkan bangunan di sebelah Jepak kerana kita ada ruang hinggalah ke kawasan Kuala Tatau,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Bintulu-Jepak Merentasi Kuala Kemena, di sini pada malam Rabu.

Premier Sarawak menambah, kawasan pembangunan baharu itu akan dibentuk dengan pendekatan perancangan bandar moden serta dilengkapi kemudahan asas yang menyeluruh untuk keselesaan rakyat.

“Ini bermakna kita membuka kawasan baharu, dan apabila kita buka kawasan baharu ia akan mempunyai 'design urban planning' yang moden termasuk kemudahan-kemudahan elektrik dan air bersih,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pembinaan jambatan sebagai simbol perpaduan rakyat, lebih-lebih lagi bagi kawasan kampung dan rumah panjang yang secara sejarahnya terletak berhampiran sungai.

“Jambatan adalah simbol perpaduan, yang menghubung tempat ke tempat yang lain. Dalam sejarah, kawasan kampung dan rumah panjang letaknya di tepi sungai.

“Sebab itulah kita sebagai pimpinan bertekad orang kampung, rumah panjang, mesti diperjuangkan. Dengan pembinaan jambatan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, jambatan baharu yang dibina di kawasan Kemena bukan sahaja menjadi satu ikon baharu di Bintulu, malah merupakan antara enam jambatan yang dibina dalam kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan GPS dalam merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.

“Alhamdulillah malam ini kita telah membina jambatan yang ikonik di kawasan Kemena. Bukan saja sebuah jambatan, ada enam jambatan.

“Bukan murah buat jambatan, tapi kita kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berusaha untuk tingkatkan pendapatan negeri Sarawak, dan kita agih kepada rakyat dengan pembangunan yang teratur,” tambah beliau.

Turut hadir Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain.–EDISI UKAS