Program Memancing Semarakkan Pesta Gedong 2025, Tarik Penyertaan Dari Seluruh Zon Tengah

Disiarkan pada 23 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Suasana ceria dan penuh semangat kekeluargaan menyelubungi Waterfront Gedong apabila program memancing sempena Pesta Gedong 2025 berjaya menghimpunkan penyertaan merentas kawasan, menjadikan aktiviti santai ini sebagai antara tarikan utama pesta.

Program yang dianjurkan oleh Kelab Belia Komuniti Gedong itu bukan sekadar acara riadah, malah menjadi wahana mengeratkan hubungan komuniti sambil menyemarakkan sambutan pesta yang akan berlangsung selama tiga hari hujung minggu ini.

Menurut wakil penganjur, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan bukan sahaja dari sekitar Gedong, malah dari Simunjan, Kuching, Samarahan, Sebuyau, Sadong Jaya, Serian dan Balai Ringin memperlihatkan potensi Gedong sebagai pusat tarikan kegiatan komuniti berskala lebih besar.

“Program ini menggabungkan elemen santai, rekreasi dan kekeluargaan yang sesuai untuk semua peringkat umur. Ia bukan sahaja menghidupkan kawasan Waterfront Gedong, tetapi juga mengukuhkan ikatan antara penduduk dari pelbagai daerah,” ujarnya.

Para peserta mula berkumpul seawal 7 pagi dan memulakan aktiviti memancing tepat jam 8:30 pagi. Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk tangkapan ikan terberat, paling awal, paling akhir serta tangkapan terbanyak.

Pemenang utama membawa pulang wang tunai RM5,000, diikuti RM1,000 bagi naib johan dan RM800 bagi tempat ketiga. Kategori udang terberat pula menawarkan hadiah wang tunai RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais yang turut memuji inisiatif ini sebagai contoh penglibatan komuniti secara inklusif.

“Penganjuran aktiviti seperti ini menunjukkan komitmen anak muda dalam mengangkat pesta tahunan ke tahap lebih tinggi dengan melibatkan pelbagai elemen masyarakat,” katanya.

Pesta Gedong 2025 dijadual berlangsung selama tiga hari pada hujung minggu ini dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, acara sukan rakyat, aktiviti keusahawanan dan seni tempatan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi dan Penghulu Melayu Zon Gedong Proper, Adian Salleh.-EDISI UKAS