KUCHING: Generasi wartawan dalam era digital kini perlu mempunyai pelbagai kemahiran untuk berjaya dalam industri media yang berubah dengan pantas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, wartawan bukan sahaja perlu pandai mengolah atau menulis berita, malah juga perlu pandai mengambil gambar dan video serta menyuntingnya, bagi memenuhi masyarakat umum.
Menurut beliau, pengamal media kini perlu bersaing dengan orang biasa menerusi media sosial dari segi kepantasan dan pada masa sama, tidak mengabaikan integriti dan memastikan maklumat disampaikan sahih dan tepat.
"Kini terletak di bahu pengamal media sendiri sama ada mahu mengadaptasi perubahan ini, terutama dalam memastikan cabaran yang dihadapi akan dapat dilalui dengan lebih mudah tapa perlu mengorbankan integriti dan prinsip kewartawanan itu sendiri,"ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Pameran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di Autrium Utama Plaza Merdeka, di Kuching pada Sabtu.
Dalam ucapan tersebut, Fahmi turut menyentuh mengenai peranan wartawan yang telah berada di barisan hadapan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, dengan menggunakan pena menentang penjajahan serta menyemai semangat perjuangan.
Selain itu, beliau juga mengenang perjuangan tokoh kewartawanan yang memainkan peranan penting dalam gerakan menentang penjajah, Tan Sri Abdul Samad Ismail, yang juga merupakan antara pengasas Utusan Melayu.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah UKAS, Samuel Simon.
Pameran HAWANA 2024 berlangsung bermula 25 hingga 27 Mei, menampilkan pameran menarik yang menggambarkan evolusi dan sejarah dunia kewartawanan di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Sebanyak 17 agensi media tempatan mempamerkan perkhidmatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat selain menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Antara agensi yang terlibat ialah UKAS, TVS, BERNAMA, RTM Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Tourism Board (STB), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Uda Holdings Berhad.-Edisi UKAS