Jambatan Sungai Limbang Kedua Dijangka Siap Jun 2026

Disiarkan pada 22 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua yang kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 76 peratus dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan jambatan itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan infrastruktur negeri yang lebih besar, termasuk The Northern Coastal Highway (dual carriageway) dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2.

“Projek Northern Coastal Highway akan dilaksanakan secara serentak dalam lima pakej yang membabitkan kawasan Limbang dan Lawas. Setiap pakej akan dikendalikan oleh syarikat utama berbeza.

“Sejak diambil alih oleh kontraktor baharu pada 2023, pelaksanaan projek ini menunjukkan kemajuan yang sangat baik. Semua bahan binaan telah tersedia dan bilangan pekerja juga mencukupi. Ini akan mempercepatkan lagi proses pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke tapak projek berkenaan pada Isnin bagi meninjau perkembangan terkini pembinaan jambatan yang menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kesalinghubungan jalan raya di utara Sarawak.

Tambah beliau, laluan jambatan ini akan menjadi sambungan penting kepada jajaran Northern Coastal Highway dan dijangka memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan serta pembangunan ekonomi kawasan seberang Sungai Limbang.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, dan pegawai kanan JKR serta agensi berkaitan.

Datuk Amar Awang Tengah turut dimaklumkan mengenai kemajuan projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang telah mencapai lebih 67 peratus dan dijangka siap Mei 2026.

Beliau turut menyatakan bahawa cadangan pembinaan CIQ Pendam masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak Brunei Darussalam.

Projek Jambatan Sungai Limbang Kedua bukan sahaja akan memendekkan masa perjalanan ke Brunei, malah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan fizikal dan ekonomi kawasan luar bandar yang terpisah di seberang sungai.-EDISI UKAS