MIRI: Aktiviti eksplorasi yang sedang dijalankan di kawasan Adung, Miri telah menunjukkan beberapa petunjuk awal kewujudan rizab gas.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kajian sedang dilaksanakan dan pihaknya belum dapat mendedahkan sebarang maklumat terperinci mengenai pelan pengeluaran pada masa ini.
"Buat masa ini, memang ada kerja-kerja eksplorasi sedang dijalankan di kawasan Adung, dan terdapat petunjuk bahawa ada rizab.
"Namun, saya tidak boleh dedahkan lagi. Kalau orang lain tahu kelak kita buat kajian dulu. Kalau ada 'feasibility' nya ok, barulah kita teruskan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Marina di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Beliau bagaimanapun menegaskan belum ada kesimpulan terlalu awal mengenai penemuan tersebut sama ada rizab dapat dilaksanakan pembangunan.
Terdahulu dalam ucapannya, Premier Sarawak memberitahu pelaksanaan kajian akan menggunakan teknologi baharu.
Tambahnya, ia akan memberi pendapatan tambahan kepada Sarawak di samping terus menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS